1Malaysia membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan kaum bagi memastikan hubungan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat-menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum.
• 1Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, kebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.
• 1Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
• Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.
• Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
• Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malaysia merupakan sebuah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Setiap ahli dalam masyarakat atau kaum tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan mendapat pembelaan kerajaan yang sewajarnya.
• 1Malaysia adalah pemangkin kepada pewujudan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan antara satu sama lain.Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
• Justeru pemimpin dan rakyat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya berprestasi tinggi, budaya ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi.