1MALAYSIA

1MALAYSIA
Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan

Sunday 27 September 2015

PERANAN REMAJA DALAM MEREALISASIKAN GAGASAN 1MALAYSIA

 Untuk merealisasikan gagasan 1 Malaysia golongan remaja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Dengan menguasai ilmu pengetahuan baharu 
golongan remaja akan mempunyai sifat berdaya saing, berfikiran kreatif dan inovatif serta dapat menyelesaikan sesuatu perkara dengan baik selaras dengan perkembangan zaman. Penguasan ilmu pengetahuan bertujuan untuk membolehkan remaja menjadi insan cemerlang dari pelbagai aspek terutamanya dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Selain itu, remaja juga perlu mengamalkan semangat perpaduan, bantu membantu dan perasaan hormat-menghormati antara satu sama lain. Sikap-sikap ini dapat menjadikan remaja Malaysia bersatu padu dalam mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong gagasan 1 Malaysia. Golongan remaja juga perlu bersikap toleransi dan memahami budaya dan agama masyarakat lain di negara ini. Sikap toleransi ini membolehkan remaja bergerak seiring dengan perkembangan zaman untuk membangunkan negara bagi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.
  Di samping itu, remaja haruslah memantapkan sahsiah diri agar menjadi insan yang berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara dengan mengamalkan budaya sopan santun dalam kehidupan seharian mereka. Remaja  juga perlu melengkapkan diri dengan ajaran agama dan pendidikan moral bagi mengelakkan remaja dari terlibat dalam gejala-gejala negatif dan masalah sosial yang boleh memudaratkan kehidupan remaja pada masa hadapan. Remaja perlu mempunyai jati diri yang kuat bagi menangkis segala gejala negatif di sekeliling mereka.
  Akhir sekali , golongan remaja perlu memerah otak dan keringat agar dapat memberikan idea, buah fikiran dan juga pandangan untuk menyatupadukan masyarakat di Malaysia. Hal ini kerana, 70 peratus daripada masyarakat Malaysia terdiri daripada golongan remaja. Golongan ini perlu berfikiran kreatif dan inovatif bagi menjulang nama negara dalam apa-apa bidang sekalipun dan dapat berbakti kepada diri, keluarga, negara dan juga agama. Pepatah menyatakan "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". 
Seterusnya, golongan remaja perlu menghayati dan mengamalkan rukun negara. Aspek rukun negara bukan hanya menjadi sebutan atau meniti dibibir sahaja tetapi perlu dihayati dan diamalkan agar menjadi warganegara yang berintegriti dan mempunyai semangat patriotik yang tinggi. Remaja perlu berusaha dalam membentuk diri menjadi modal insan yang cemerlang agar disanjung oleh masyarakat. Golongan remaja juga perlu berusaha mempersiapkan diri untuk memacu negara ke arah wawasan 2020.

Kesimpulannya, remaja merupakan aset negara yang paling bernilai dan menjadi tunggak utama dalam menjayakan konsep gagasan 1 Malaysia. Tetapi dalam mencapai matlamat tersebut, semua pihak perlu berkerjasama dalam menjayakan konsep gagasan 1 Malaysia. Usaha yang berterusan  oleh semua pihak akan menjadikan remaja hari ini sebagai pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment